KDN haramkan 6 buku bertengangan budaya, nilai masyarakat

KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan penerbitan, pengedaran dan pemilikan enam buku kerana bertentangan dengan budaya serta nilai murni masyarakat Malaysia.

Enam buku itu adalah ‘A Million Kisses in Your Lifetime’ oleh Monica Murphy; ‘Lose You to Find Me’ oleh Erik J Brown; ‘Punai’ oleh Asyraf Bakti; ‘Scattered Showers’ oleh Rainbow Rowell; ‘When Everything Feels Like the Movie’ oleh Raziel Reid dan ‘What If It’s Us’ oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata, perintah larangan yang berkuat kuasa pada 19 Dis lalu itu diwartakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Semakan mendapati sekurang-kurangnya tiga buku itu mengandungi unsur atau karakter LGBT ( lesbian, gay, biseksual dan transgender).

“Peruntukan ini di bawah Seksyen 7(1) akta itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak.

“Mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2) akta itu yang membawa hukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan bagi mencegah penyebaran elemen.

“Ini termasuk fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” kata kenyataan itu.