Kerajaan pertimbang salur bantuan kepada pelajar Tingkatan 6 – Hajiji

TUARAN : Kerajaan Negeri akan memberi pertimbangan untuk memberikan bantuan kepada pelajar Tingkatan Enam di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini merupakan antara fokus utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk menitikberatkan aspek pendidikan serta modal insan yang berkualiti.

Katanya, kerajaan menambah berlipat kali ganda peruntukan untuk pendidikan, termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) berjumlah RM127 juta pada tahun hadapan.

“Penambahan penambahan ini berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakan, tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu bantuan lain termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) “one off”,  Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI).

“Selain itu, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU)”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rugading, Tuaran di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Hajiji  menyokong cadangan agar sebuah sekolah baharu dapat di bina di kawasan Rugading bagi menampung jumlah murid yang terus meningkat setiap tahun.

“Bangunan baharu SK Rugading dilengkapi suasana pembelajaran kondusif serta kemudahan terkini agar mereka dapat mencapai potensi diri yang sebenar.

“Saya yakin, dengan adanya kemudahan ini, SK Rugading akan terus mencipta sejarah dalam melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja di peringkat akademik malah dalam kehidupan secara keseluruhan,” jelas Hajiji.