UMS merupakan Universiti pertama terima Biasiswa Kedutaan China di Malaysia – Kasim

KOTA KINABALU : Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpilih sebagai penerima pertama Biasiswa Kedutaan China di negara ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing menyampaikan sumbangan biasiswa tersebut kepada pelajar berlangsung di UMS.

Katanya, sumbangan biasiswa ini menjadikan UMS sebagai universiti awam pertama di Malaysia menerima Biasiswa Kedutaan China.  

Kasim Mansor

“Pemberian biasiswa daripada Kedutaan Besar China di Malaysia merupakan satu pengiktirafan kepada UMS dalam mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua negara. 

“Biasiswa ditawarkan bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan tetapi membuka pintu kepada peluang untuk pertukaran budaya dan kerjasama antarabangsa,” katanya di sini semalam.

Kasim berkata, UMS mempunyai  hubungan baik dengan Negara China sekali gus menganggap pemberian biasiswa ini akan merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara.

“Ini sekali gus merupakan sokongan daripada Kedutaan Besar China di Malaysia berikutan UMS mempunyai kepakaran, sumber, kapasiti untuk melahirkan graduan bakal pemimpin masa depan, inovator, dan penyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

“Sokongan daripada pihak kedutaan bakal memastikan pelajar terpilih, terutamanya daripada keluarga B40, berpeluang untuk mengejar impian mereka tanpa bebanan atau kekangan kewangan,” jelas Kasim. 

Menurutnya, UMS merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan China memilih UMS sekali gus berharap agar lebih ramai lagi pelajar akan mendapat biasiswa pada masa depan.