PUTATAN : Insiden teknikal melibatkan kerosakan pam, paip pecah dan kebocoran paip dikenal pasti menyebabkan punca kepada gangguan bekalan di daerah ini.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, gangguan bekalan air ini bermula tiga hingga empat minggu lalu akibat kerosakan pada salah satu pam di loji air utama.
Katanya, situasi ini diburukkan lagi dengan beberapa insiden paip pecah memgakibatkan gangguan tekanan air di kawasan terbabit.
“Ia adalah berpunca pada tiga hingga empat minggu lalu apabila sebuah pam rosak di Telibong dan juga dikuti pula dengan paip pecah.
“Jadi bekalan air yang dihasilkan daripada loji air Moyog dan Kasigui, kita kongsikan dengan beberapa kawasan di utara Kota Kinabalu dan apabila keadaan sudah pulih kita mengembalikan tekanan balik kepada Putatan.
“Tetapi apabila ada penyelerasan terhadap tekanan dalam paip jadi ada paip-paip yang pecah, jadi inilah yang menyebabkan tekanan rendah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program SMART Jawab SPM di Maktab Sabah, di sini hari ini.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, keperluan untuk menyiapkan pembinaan loji baru dijangka mampu menambah kapasiti bekalan air sebanyak 5 juta liter sehari (MLD).
“Loji ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada April tahun hadapan dan ia diharap dapat menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Putatan secara menyeluruh.
“Untuk Putatan ini sebenarnya kita memerlukan loji yang baru, yang sedang dibina dengan sebanyak 5 juta MLD yang dijangka siap pada April tahun depan,” jelas Shahelmey.
Menurutnya, sekiranya ia dapat disiapkan jumlah air yang dibekalkan dalam amaun yang ada dan selesa sekali gus menyelesaikan masalah air di Putatan.
