Perubahan positif dalam ekonomi semua aspek pembangunan – Hajiji

TUARAN : Kerajaan Negeri berjaya membawa banyak perubahan positif dalam bidang ekonomi serta semua aspek pembangunan di negeri ini, sepanjang tempoh empat tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antaranya Sabah memperoleh penyertaan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.

Katanya, selain terus menjayakan inisiatif dan agenda dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan negeri terus menerokai sumber baharu untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, semua ini sudah pasti memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak khususnya rakyat, untuk kita membangunkan negeri ini”, katanya  di sini semalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri untuk membantu rakyat khususnya golongan B40, sama ada dalam aspek peningkatan ekonomi dan pendidikan, seiring dengan komitmen untuk membasmi kemiskinan terutama miskin tegar yang merupakan antara agenda penting kerajaan.

“Program berterusan ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta, yang diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya.

“Kerajaan negeri mensasarkan untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos berjumlah RM250 juta,” jelas Hajiji.

Menurutnya,  untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri telah menambah sekali ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini berjumlah RM127 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya.

“Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak Sabah yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.

“Program MyLesen Madani 2024 peringkat negeri Sabah adalah bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, untuk membantu golongan sasar khususnya golongan B40 untuk memiliki lesen memandu di negeri ini,” kata Hajiji.