SEMPORNA : Pesta Regatta Lepa merupakan antara program kebudayaan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah pada tahun hadapan.
Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha ini dapat meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti merupakan satu kaedah efektif untuk mengagihkan hasil pendapatan industri ini secara lebih inklusif dan saksama.
Katanya, semua usaha ini juga adalah untuk memastikan khazanah budaya ini dapat dinikmati generasi masa ini dan akan datang.
“Dalam masa sama, program ini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.
“Saya l ingin mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu-padu dan menyokong setiap usaha kerajaan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di semua peringkat,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata, era komodenan masa kini tidak menghalang komitmen kerajaan negeri untuk terus memelihara khazanah budaya dan adat resam yang diwarisi sejak zaman nenek moyang lagi.
“Lepa bukan sekadar sebuah perahu, ia adalah lambang kemahiran, kebijaksanaan dan keunikan seni bina serta kejuruteraan tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi.
“Kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan khazanah warisan yang akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang,” jelas Hajiji.
Menurutnya, penganjuran Regatta Lepa ini bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan, tetapi juga memperkukuh jati diri kita sebagai masyarakat yang kaya dengan tradisi.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama-sama untuk memperkasakan sektor kebudayaan yang ada di negeri ini.
“Keistimewaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum adalah aset yang penting sebagai tarikan pelancong dan terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini,” kata Hajiji.