KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa melibatkan wanita dalam apa jua bentuk inisiatif ke arah pembangunan negeri Sabah yang berdaya saing, berdaya maju dan mampan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, sebagai seorang wanita beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana Bajet 2025 telah mengetengahkan tujuh perkara.
Katanya, antaranya Program Pembangunan Wanita melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk pelbagai program operasi dan pelaksanaan, Program Kredit Mikro oleh Yayasan Usaha Maju (YUM).
“Selain itu, Program Keusahawanan Wanita Muda (Perbadanan Pinjaman Sabah dan IDS), Komitmen peningkatan Wanita dalam Pembuat Keputusan, Pembangunan Usahawan melalui IKS dan Program Kesejahteraan Wanita dan Skim-Skim Bantuan (Ibu Tunggal dan Warga Emas).
“Secara keseluruhan program yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri Sabah 2025 khusus untuk Wanita memainkan peranan yang sangat penting untuk meningkatkan peranan Wanita di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Menjunjung Kasih bersama Toh Puan Norlidah R.M. Jasni di sini semalam
Azizah berkata, apabila wanita diberikan ruang, peluang dan sokongan yang sewajarnya ia dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga.
“Saya berharap usaha mencapai 30 peratus penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan akan dapat direalisasikan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas inisiatif dan kesungguhan dalam pembelaan terhadap kita wanita di Negeri Sabah ini,” jelas Azizah.