Kerajaan galakan pemaju perumahan sediakan rumah mampu milik di Tawau – Nizam

TAWAU : Penglibatan syarikat pemaju membantu kerajaan menyediakan kekurangan perumahan selesa sekali gus membolehkan lebih ramai penduduk memiliki rumah sendiri.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri menyambut baik hasrat ini membolehkan lebih banyak syarikat pemaju perumahan dapat menyediakan mampu milik.

Katanya, ketika ini ramai penduduk Tawau menghadapi kesulitan untuk memiliki kediaman sendiri dengan pada kadar harga yang berpatutan.

“Kemudahan program subsidi ditawarkan kerajaan ini adalah merupakan salah satu usaha untuk meringankan beban golongan ini.

“Dalam masa sama kerajaan memberi subsidi sebanyak RM60,000 kepada pembeli rumah pertama, khususnya untuk projek perumahan terpilih membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman Bayan, Tawau, di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, dengan wujudnya sokongan pemaju, lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina, membantu memenuhi permintaan penduduk di Tawau.

“Projek perumahan PPAM di Taman Bayan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penjawat awam berikutan harga rumah lebih rendah berbanding pasaran biasa.

“Kita sarankan agar selepas ini akan ada lagi projek perumahan PPAM di daerah Tawau agar lebih ramai memiliki rumah sendiri,” jelas Nizam.