SANDAKAN : Seorang lelaki penghidap penyakit ‘Strok’ ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, Sandakan, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, mangsa dikenali sebagai Jailan Jaimin, 35 tahun, ditemui di kawasan ruang tamu rumahnya kira-kira jam 9.35 pagi tadi.
Katanya, pasukan Bomba kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi ini kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bersama 15 anggota diketuai Komander Operasi PBK II Alan Ayuh dan Komander Operasi Kanan PPgB Hairi Otuh.
“Kebakaran ini melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 30×30 kaki, terbakar 100 peratus manakala beberapa kenderaan lain turut terbakar,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Nidzam berkata, pihaknya menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki bersama tiga pancutan serta sumber air jentera kenderaan bomba.
“Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 9.27 pagi tadi. Selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan kebakaran kerja-kerja ditamatkan jam 11.35 pagi.
