Mangsa sudah dikejutkan ibunya, mungkin tidur balik – Ibu saudara

TAWAU : Kanak-kanak berusia lima tahun yang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan 38 kediaman di Kampung Jati, Batu 5 di sini, tengah malam tadi, sedang nyenyak tidur ketika kejadian, kata ibu saudaranya, Noor Hajijah Matrol.

Noor Hajijah, 43, berkata mangsa sudah dikejutkan oleh ibunya tetapi berkemungkinan tidur semula.

Dalam keadaan amat kelam-kabut ketika itu, beliau berkata, kanak-kanak terbabit disangkakan sudah dibawa keluar dari rumah yang sedang dijilat api.

“Selepas itu, baru sedar anak saudara hilang. Puas kami cari sampai merata tempat tetapi tidak jumpa… ada yang cakap dengar budak menangis,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, insiden berlaku ketika bekalan elektrik terputus selepas ribut dan hujan lebat, manakala kesemua 13 ahli keluarganya berada di rumah dengan ada yang sedang nyenyak tidur.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Ansar Mohd Suri, 56, berkata beliau menyedari berlaku kebakaran selepas mendengar teriakan jiran.

“Sebelum kejadian, saya tidak dapat tidur. Biasanya sebelum jam 9 malam, saya sudah tidur. Namun pada malam tadi, saya gelisah sepanjang malam… cucu-cucu saya pun menangis tidak dapat tidur.

“Selepas itu, saya dengar jiran teriak beritahu ada kebakaran. Saya lari keluar dan melihat beberapa rumah jiran terbakar.

“Saya terus bergegas mengarahkan isteri dan anak bawa keluar cucu serta selamatkan diri,” katanya yang tinggal di rumah itu lebih 10 tahun.

Ansar menganggap kejadian itu sebagai ujian Allah SWT dan reda dengan apa yang berlaku, selain bersyukur semua ahli keluarganya selamat.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang, turut hadir meninjau lokasi kebakaran terbabit dan memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan sedang mengemas kini jumlah mangsa terjejas.

“Setakat jam 2 petang tadi, 48 ketua keluarga mendaftar dengan Jabatan Kebajikan sebagai mangsa kebakaran.

“Kebakaran berlaku pada jam 12.45 tengah malam. Saya difahamkan punca kebakaran mungkin daripada api lilin. Ketika itu, bekalan elektrik terputus selepas berlaku ribut dan hujan lebat.

“Saya berharap jawatankuasa bencana dapat mengambil keputusan segera bagi penempatan sementara mangsa kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung turut diarah memberi bantuan kepada penduduk terjejas, termasuk menyediakan makanan.