KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud memberikan tempoh sebulan agar kontraktor terbabit dapat menyelesaikan pembaikan jalan sekali gus melakukan penurapan semula terhadap kerosakkan Jalan Tebobon, Tuaran.
Menurutnya, beliau sendiri akan memantau sendiri terhadap perkembangan projek ini untuk memastikan ia dapat berjalan lancar serta kembali selamat digunakan oleh pengguna jalan berkenaan.
“Hampir setiap hari saya menerima laporan berkaitan kerosakan jalan ini sehingga ada kalangan pengguna mendakwa kenderaan mereka mengalami kerosakkan akibat keadaan jalan ini.
“Ini merupakan jalan utama yang perlu diambil perhatian sepenuhnya oleh kontraktor yang dilantik bagi memastikan keselesaan pengguna lalu lintas,” katanya hari ini.
Mustapha merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, beliau berharap tempoh sebulan diberikan adalah mencukupi agar tindakan segera dapat oleh kontraktor berkenaan.
“Hari ini saya melakukan tinjauan ke Jalan Tuaran susulan beberapa laporan serta keluhan daripada penduduk setempat mengenai keadaan jalan raya yang rosak dan berlubang.
“Dalam pertemuan bersama wakil JKR dan kontraktor, saya menekankan pentingnya kerja-kerja pembaikan dijalankan dengan pantas serta secara teliti kerana perkara ini membabitkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di kawasan ini,” jelas Mustapha.