Sabah kini berada dibawah kepimpinan yang sangat tepat – Nizam

KOTA KINABALU : Sabah merupakan antara lima negeri menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion)  Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 dikemukakan bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan  Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Kerajaan dan Agensi Negeri dibentangkan di Parlimen berkata, lima negeri yang menerima sijil ini adalah Johor, Pahang, Perak, Sarawak, dan Sabah.

Katanya, pemcapaian ini adalah bukti kepada tadbir urus kewangan kukuh dan ketelusan diamalkan oleh kerajaan negeri Sabah.

“Di bawah Gabungan Rakyat Sabah Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus), kita kekal komited untuk memastikan setiap dana awam diuruskan dengan bertanggungjawab.

“Pengiktirafan daripada Audit Negara ini membuktikan bahawa Sabah sememangnya berada di bawah kepimpinan yang baik dan stabil dari segi kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, beliau menegaskan kejayaan ini tidak datang secara kebetulan.

“Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah kunci utama kepada kemajuan dan kestabilan negeri Sabah.

Pelan ini memberi fokus kepada pembangunan yang menyeluruh dan berterusan, termasuk sektor ekonomi, sosial, dan infrastruktur, memastikan bahawa kita dapat memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat,” jelas Nizam.

Menurutnya, melalui pelan ini kerajaan tidak mengabaikan kepentingan untuk menggunakan dana awam ke tempat-tempat yang kritikal dengan cermat.

“Hakikat penyata kewangan Sabah diterima tanpa sebarang isu atau teguran menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat ke arah kestabilan fiskal dan pertumbuhan jangka panjang.

“Ini juga mencerminkan usaha berterusan kita dalam melaksanakan program pembangunan yang berpaksikan keperluan rakyat, serta komitmen kita untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah terjamin,” kata Nizam.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi, dan pihak berkepentingan memainkan peranan dalam mengekalkan tahap akauntabiliti kewangan yang tinggi ini.

“Kerajaan Sabah akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengurusan kewangan yang cermat dan memastikan Sabah kekal sebagai contoh tadbir urus yang baik di Malaysia,” tambah Nizam.