KUALA LUMPUR : Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diterjemahkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September ini nanti.
Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nazri Nik Zawawi berkata, pihaknya mengharapkan sesuatu yang menarik dalam Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.
Katanya, ini penting dilihat akan mampu menyuntik semangat kalangan perwakilan UMNO selepas BN mencapai kemenangan majoriti besar di PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.
“Ucapan Presiden ini sangat dinanti-nantikan oleh semua perwakilan termasuk UMNO Bahagian Keningau, kerana kemenangan ini menjadi satu petanda baik khususnya kepada kebangkitan orang melayu serta bumiputera kembali menyokong semula UMNO.
“Kemenangan ini akan diterjemahkan lagi di PRK DUN Mahkota Johor Bahru nanti….PAU 2024 ini ada ruang terbaik untuk memberikan semangat kepada ahli umno untuk bangkit menjadi satu parti yang bermaruah di masa depan,” katanya di sini hari ini.
Nik Mohd Nazri berkata, ini adalah merupakan harapan perwakilan yang datang dari di seluruh negara pada PAU 2024 ini.
“Kita ingin melihat kebangkitan semangat baharu ini akan memberi petanda bahawa sokongan rakyat kini kembali bersama UMNO.
“Kami di Sabah, sangat teruja menantikan ucapan dasar ini yang akan menyuntik semangat untuk dibawah pulang ke Sabah kelak,” jelas Nik Mohd Nazri.
Sementara itu beliau mengegaskan, PAU 2024 ini membawa signifikannya tersendiri dalam memastikan kebangkitan semula UMNO Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) dalam tempoh terdekat.
“Kita mahu momentum ini akan berterusan sampai ke negeri kita. Ia sekali gus akan memastikan UMNO Sabah akan menjadi kerajaan dominan selepas pilihan raya negeri Sabah nanti,” kata Nik Mohd Nazri.
