TONGOD : Pembentukan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kini menerajui kerajaan negeri bukan sahaja digeruni lawan malah dasar baharu diperkenalkan kepada rakyat turut dicemburui pihak pembangkang.
Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah berkata, pemimpin parti pembangkang di Sabah menemui jalan buntu mencari titik persamaan sekali gus terpaksa menggunakan taktik kotor demi mencari kuasa yang hilang.
Katanya, kegagalan pemimpin pembangkang mencari kelemahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengakibatkan beberapa pengikutnya terpaksa mencipta taktik kotor serta tidak beretika yang jelas mencerminkan budaya parti mereka.
“Apa yang kita nampak sekarang mereka terpaksa mencipta cerita kotor termasuk menyebarkan video untuk memfitnah pemimpin yang menyukarkan modus operandi mereka.
“Pemimpin serta penyokong pembangkang yang pengacut ini terpaksa menabur fitnah kerana takut berhadapan dengan politik secara sihat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya di sini hari ini.
Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, sekiranya mempunyai bukti kukuh, mereka boleh menggunakan pihak berkuasa untuk mendakwa beliau ke Mahkamah.
“Saya mencabar kepada penabur fitnah berkenaan supaya berdepan melalui perdebatan berkaitan projek Kilang Klinker serta Simen di Tongod dan isu Rumah Pangsa Tanjung Aru di Kota Kinabalu.
“Saya tidak akan berundur dengan karenah fitnah kerana saya adalah diangkat oleh rakyat untuk memimpin DUN Kuamut ini,” jelas Masiung.
Menurutnya, adalah tidak salah bagi mereka bercita-cita mahu kembali berkuasa tapi biarlah berpolitik secara sihat.
“Rakyat tidak perlu dibohongi dengan fitnah kerana ramai kalangan rakyat lebih matang serta berpendidikan tinggi berbanding pemimpin yang suka penyebar fitnah,” kata Masiung.
