MySTI memberi manfaat kepada usahawan tempatan di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri yakin inisiatif memperkenalkan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) akan mampu meningkatkan produtiviti di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dilihat mampu memberi manfaat kepada usahawan, pihak universiti, institusi penyelidikan serta kerajaan dalam memanfaatkan produk inovasi dan R&D tempatan.

Katanya, inisiatif akan merangsang pertumbuhan kepada industri tempatan khususnya dalam bidang teknologi sekali gus merupakan antara sumber ekonomi baharu yang dikenalpasti.

“Saya mahu semua peluang ini diambil serta dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak universiti, institusi penyelidikan dan usahawan di negeri ini untuk mendaftar dan mendapat penandaan logo MySTI.

“Ke arah ini Sabah bersedia untuk menjadi hab kemajuan teknologi, dengan inovasi digalakkan dan dipupuk secara aktif selaras dalam perkembangan pesat integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian MTDC Road to Growth (R2G) 2024-Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Hajiji berkata, kerajaan berhasrat mencipta ekosistem menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus menggalakkan transformasi digital, serta memupuk budaya inovasi di negeri ini.

“Komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur.

“Selain itu meneroka sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” jelas Hajiji.

Menurutnya, fokus kerajaan adalah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri.

“Disamping itu ingin memastikan tenaga kerja di Sabah dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan.

“Kita berharap program Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Road to Growth (R2G) 2024-Sabah dapat membantu melahirkan lebih ramai penyelidik dan usahawan yang berinovasi,” kata Hajiji.

Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Datuk Mohammad Yusof Apdal.