SEMPORNA : Parti Warisan (WARISAN) mengenal pasti muka baharu serta berpengalaman untuk diketengahkan sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRNI7) Sabah akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata, setakat ini senarai tersebut masih di peringkat awal sekali gus akan melalui beberapa peringkat tapisan sebelum memuktamadnya.
Katanya, meskipun senarai tersebut masih belum mencapai 100 peratus kriteria diperlukan namun secara keseluruhanya WARISAN sudah mengenal pasti mereka yang berpotensi dicalonkan pada PRN17.
“Saya ada minta dalam kawasan tersebut beberapa orang nama…untuk mengenal pasti siapa dia, ini penting sebelum kita umumkan untuk mewakili WARISAN pada PRN17.
“Ada yang berpengalaman, ada yang muda…Apa yang penting calon mewakili WARISAN mesti boleh menang. Tidak semestinya mempunyai jawatan di peringkat bahagian atau Ahli Majlis Tertinggi atau Ketua Bahagian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Shafie merupakan Ahli Parlimen Semporna berkata, WARISAN akan mengambil pertimbangan kepada selera rakyat disesuatu kawasan sebagai syarat termasuk calon disukai oleh rakyat yang mengundi mereka nanti.
“Bagi mereka yang tidak tercalon pada PRN17 ini tetapi mempunyai jawatan di peringkat bahagian, AMT sudah tentu akan mendapat tempias selepas WARISAN menang dalam PRN nanti.
“Jika risau banyak tempat boleh ditawarkan kepada mereka ini yang tidak dicalonkan pada PRN17 nanti….Apa yang penting mereka mesti buktikan WARISAN menang dan bantu parti terlebih dahulu,” jelas Mohd Shafie.
