Pusat Komuniti Wanita Pulau Berhala bantu wanita pulau jana pendapatan

SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee telah merasmikan Pusat Komuniti Wanita Pulau Berhala, Sandakan, baru-baru ini.

Pusat komuniti berkenaan yang dibina dan disumbangkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sandakan mula dibina sejak tiga bulan lepas kini siap sepenuhnya dan mula digunakan, semalam.

Vivian turut serta aktiviti melukis dinding Pusat Komuniti Wanita Pulau Berhala.

Vivian berkata, pewujudan pusat khidmat itu diharap mampu membantu golongan suri rumah di pulau tersebut untuk menjana pendapatan melalui aktiviti dan kursus jahitan dan pelbagai program yang lain.

Pihaknya turut menyediakan beberapa mesin jahit untuk kegunaan latihan dan pembelajaran wanita di pusat itu sekaligus membolehkan mereka mengambil tempahan jahitan selepas mahir menjahit.

“Kita juga menggalakkan mana-mana pihak penyedia kemahiran berkaitan untuk mengajar wanita di pulau ini untuk menjahit selain beberapa kemahiran lain seperti bidang solekan, anyaman dan aktiviti yang mampu menjana pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pusat komuniti itu di Pulau Berhala.

Pelbagai acara diadakan semasa pembukaan pusat itu termasuk aktiviti melukis dinding pusat komuniti secara gotong-royong bersama penduduk dan pelukis tempatan serta aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Hadir sama, Ketua Kampung Pulau Berhala, Junior Jikirin.

Selain peralatan menjahit, pihaknya juga menyediakan rak buku ‘READ’ bagi anak-anak Pulau Berhala melakukan aktiviti membaca ketika ibu mereka sedang belajar kemahiran dan melakukan aktiviti di pusat itu.

Vivian merakam ucapan terima kasih kepada Knowledge Bookstore dan Books for a Better World Sdn Bhd atas sumbangan buku-buku berkenaan.

“Terima kasih kepada Young Malaysians Movement (YMM) Sandakan, Junior Chamber International (JCI) Sandakan, Persatuan Ukhwah Sillaturahim Sandakan, Andrew serta pelukis terkenal Ah Xiang dan pasukannya kerana turut menjayakan program gotong-royong bersama penduduk untuk mencantikkan lagi Pusat Komuniti Wanita Pulau Berhala ini,” katanya.

Sementara itu, berkenaan pengurusan sampah yang lebih baik di pulau itu, pihaknya menerusi penyelaras program, Tang Szu Ching turut menyediakan sebuah alat untuk memampatkan sampah.

Jelas Vivian, alat itu akan memudahkan penduduk untuk membawa dan menjual atau mengitar semula sampah sekaligus menjana pendapatan penduduk dan menyelesaikan isu sampah di kawasan penempatan tersebut.