KOTA KINABALU: Perpaduan yang dikecapi rakyat negara ini adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.
Justeru itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia perlu dipupuk dan dipelihara dalam diri agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila.
“Rakyat seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada negara yang berdaulat dan merdeka kerana dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman dan sejahtera,” katanya dalam ucapan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2023, di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Seri Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata penerapan semangat patriotisme dalam setiap rakyat bukan sahaja menjadi ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka, malah mampu membina kerukunan jitu dalam kalangan rakyat bagi menghadapi cabaran besar yang mendatang.
Sempena sambutan bulan kebangsaan, Hajiji mengajak semua rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotisme, dan memeriahkan sambutan itu.
Katanya rakyat perlu mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga terutamanya di rumah, bangunan pejabat kerajaan dan swasta, premis perniagaan, kenderaan masing-masing serta di mana sahaja tempat yang sesuai.
Antara aktiviti lain sempena sambutan kemerdekaan di negeri ini ialah Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Pertandingan Mencipta Video Pendek Kreatif Di Sabahfm, Doa Sayangi Malaysia, Ceramah Cinta Negara dan Program Semarak Gemilang.
