Hajiji arah Jabatan Pendidikan kenal pasti punca 6,000 calon SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) diarah mengenal pasti punca hampir 6,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri PanglimaHajiji Noor berkata berdasarkan laporan sebelum ini, hanya seramai 34,461 daripada 40,147 calon yang mendaftar di Sabah menduduki SPM 2022.

Katanya beliau memberi perhatian serius terhadap isu ini di Sabah kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi serta Pendidikan adalah hak untuk semua.

“Berapapun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka.

“Perkara ini membimbangkan kerana SPM adalah penting untuk pelajar mencorak masa depan mereka. Saya mahu pelajar dari Sabah yang tidak menduduki SPM 2022, ambil peluang untuk berbuat demikian pada tahun ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri Ke-34 kepada 40 pelajar, di sini, hari ini.

Sehingga kini, seramai 715 orang pelajar telah mendapat manfaat dari program ABCNS yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan kira-kira 30,000 calon SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan itu di seluruh negara, dengan 10,000 daripada mereka mendaftar untuk mengulang pada SPM tahun ini.

Hajiji berkata walaupun terdapat peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) keputusan SPM 2022 bagi negeri Sabah kepada 5.22 mata berbanding 5.35 mata pada 2021, namun masih jauh berbanding GPN kebangsaan sebanyak 4.74.

Pada masa yang sama, katanya, jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021 kepada 0.61 mata pada 2022.

“Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan yang wujud,” kata Hajiji.