BELURAN: Kira-kira 90 peratus kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason dekat sini dilaporkan rosak teruk akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, hasil lawatan dan penilaian awal mendapati kemudahan serta peralatan sekolah itu mengalami kerosakan menyeluruh sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menurutnya, antara keperluan mendesak yang dikenal pasti ialah 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi pentadbiran.
“Selain itu, kemudahan PdP bagi sembilan kelas turut terjejas dan memerlukan papan putih serta televisyen pintar (Smart TV) baharu.
“Keseluruhan buku teks termasuk stor simpanan turut musnah, manakala 30 komputer riba dan lapan set komputer untuk kegunaan pelajar tidak lagi dapat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalqm.
Beliau berkata, kerosakan turut membabitkan bilik pusat sumber, tandas, bilik mesyuarat sekolah serta 10 tangki simpanan air yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah supaya menyalurkan bantuan segera bagi membolehkan kerja baik pulih dan penggantian aset dilaksanakan tanpa menjejaskan sesi persekolahan murid.
Dalam masa sama, beliau menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar segera memaklumkan kepada kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama itu di kawasan masing-masing.
“Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah mesti terus menjadi keutamaan dan tanggungjawab bersama semua pihak,” ujarnya.
