LABUAN : Seramai 700 pesilat menyertai Kejohanan Silat Olahraga dan Seni Jemputan Borneo 2024 bermula sabtu ini.
Kejohanan selama tiga ini merupakan anjuran Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Wilayah Persekutuan Labuan.
Kejohanan berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan melibatkan pelbagai penyertaan peringkat umur melibatkan peserta dari Sabah, Sarawak, Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Yang DiPertua PESAKA Labuan, Mohamad Khairul Abd. Ghani berkata, kejohanan merupakan julung kalinya diadakan ini mendapat sokongan daripada Perbadanan Labuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan serta Jabatan Belia dan Sukan Labuan.
“Kejohanan tiga hari ini membawa impak besar bukan sahaja mampu menonjolkan kekayaan warisan budaya persilatan tetapi juga mampu memupuk pemahaman tentang seni mempertahankan diri peserta.
“Selain itu penganjurannya juga turut dirasai impaknya kepada peniaga peniaga kecil tempatan seperti pengusaha inap desa serta peniaga kecil gerai makanan untuk menjana pendapatan mereka,” katanya di sini semalam.
Mohamad Khairul berkata, PESAKA Labuan akan menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan berharap dapat dimasukkan kejohanan ini ke dalam kalendar pelancongan.
“Kita melihat ini mampu memberikan impak besar sebagai salah satu lagi acara mampu menarik kehadiran pelancong ke pulau ini.
“Majlis perasmian kejohanan ini akan disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri merupakan Yang Di Pertua PESAKA Kuala Lumpur, Datuk Azman Abidin,” jelas Mohamad Khairul.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanun Fauzi.