653 PATI warga Filipina diusir keluar dari Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 653 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina diusir keluar dari Pelabuhan Sandakan, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PATI yang berusia di bawah 23 bulan hingga 68 tahun itu adalah tahanan dari tiga Depoh Imigresen iaitu Kota Kinabalu, Papar dan Tawau.

Beliau berkata, kesemua tahanan ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

Katanya, pengusiran PATI itu adalah program pemindahan tahanan PATI siri ketujuh pada tahun ini.

“Seramai 584 pula adalah tahanan dewasa yang berumur antara 13 hingga 68 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sitti Saleha berkata, kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Aka Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut beliau, kesemua PATI telah selesai menjalani hukuman berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dilakukan.

Justeru, semua warga asing diingatkan agar memasuki negara ini dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

Jelas beliau, semua agensi penguat kuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

Katanya, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri ini.

JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta setelah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.