TAWAU: Polis menahan seorang wanita pekerja sebuah kedai emas selepas didapati mencuri wang hasil jualan di tempat kerjanya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 16 tahun ditahan di kampung Titingan Tawau, selepas majikannya mendapati wang tunai hasil jualan harian di dalam kaunter berkurangan.
Katanya, kejadian itu disedari oleh suami mangsa melalui CCTV dan mendapati seorang pekerjanya mengambil wang hasil jualan harian emas dalam kedai tersebut.
“Bertindak atas risikan dan maklumat awam, sepasukan polis dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Tawau berjaya menahan suspek terbabit.
“Hasil semakan Polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Jasmin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.