UMS Perkukuh Kerjasama Dua Hala Dengan Industri Pembuatan Di Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) telah mengorak selangkah ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama dua hala dengan industri pembuatan di negeri Sabah.

Terbaru, satu hasrat kerjasama telah dimeterai antara UMS dengan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd., syarikat yang memproses panel solar dan merupakan satu pelabur terbesar di Sabah dengan tawaran sebanyak 1800 peluang pekerjaan pada tahun 2023.

Kerjasama tersebut dimeterai melalui satu sesi menandatangani surat niat (LoI) antara kedua-dua pihak dalam satu acara di sini.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala SBH Kibing Solardiwakili Timbalan Pengarah Pengurusan, Chen Guo.

Majlis pemeteraian tersebut turut disaksikan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kibing Solar, Yao XinXi; Pengurus Sumber ManusiaKibing Solar, Julia Wang; dan Ketua Pentadbiran FSSA UMS, Aidah Noordin.

Dalam pada itu, Jualang berkata, kerjasama ini bakal menumpukan aspek perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.

LoI ini akan membuka ruang kepada pelajar dan juga alumni UMS untuk mendapat peluang penempatan pekerjaan di syarikat yang besar dan maju.

Di samping itu, pertukaran ilmu dalam kalangan staf, penyelidikan baharu di antara UMS dan pihak Kibing Solar serta perluasan jaringan pelajar dengan pihak industri adalah antara sasaran utama dalam kerjasama ini,” katanya.

Beliau menambah, pihak UMS akan mengetengahkan kepakaran yang berkaitan dengan industri pembuatan dan secara tidak langsung mencetuskan idea dalam meneroka bidang kurikulum baharu seperti Sains Bahan.

Selain itu, UMS juga mendukung keperluan aktiviti sokongan dalam meningkatkan kemahiran pekerja serta aktiviti kemasyarakatan antara kedua– dua pihak.

UMS melalui Institut Confucius juga akan membantu menawarkan kursus Bahasa Cina dan memberi pendedahan budaya kepada pekerja-pekerja di Kibing yang diambil dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Ujar beliau, bagi pihak Kibing Solar pula, hasrat utama mereka adalah untuk membuka lebih banyak peluang pasaran kerja kepada penduduk di Sabah selain penerokaan teknologi baharu dan bersama-sama menyumbang kepada khidmat masyarakat di negeri ini.