530 Kenderaan, 1,500 peserta sertai Cabaran Antarabangsa Borneo Safari

KOTA KINABALU : Sebanyak 530 kenderaan memeriahkan Cabaran Antarabangsa Borneo Safari Offroad Edisi ke-31.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melakukan acara pelepasan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah di ibu negeri.

Hajiji merasmikan majlis pelepasan Borneo Safari International Offroad Challenge Edisi ke-31. Gambar Jabatan Penerangan Sabah.

Cabaran yang berlangsung selama lapan hari bermula semalam disertai oleh seramai 1,500 peserta.

Berucap pada acara itu, Hajiji berkata ekspedisi ini merupakan satu rekreasi kepada peserta di samping dapat melihat khazanah alam Sabah yang kaya dengan hutan simpan, eko-sistem dan pemandangan yang cukup menarik untuk dikongsi bersama.

Hajiji merasmikan majlis pelepasan Borneo Safari International Offroad Challenge Edisi ke-31. Gambar Jabatan Penerangan Sabah.

“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya mengumpulkan peminat-peminat kereta pacuan 4 roda (4×4) dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA), Faez Nordin berkata, penyertaan kali ini amat memberangsangkan dan mendapat sambutan dari luar negara seperti Hong Kong, Australia, New Zealand, Jepun, Filipina, India, United Kingdom dan Brunei Darussalam.

“Pada tahun lalu, kami menerima seramai 1,200 peserta dan kali ini, jumlah penggemar cabaran kereta 4×4 semakin meningkat sehingga pihak kami terpaksa meningkatkan penyertaan kepada 1,500 orang untuk tujuan keselamatan,” tambahnya.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan Pembantunya Datuk Joniston Bangkuai serta Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan.