50,000 jawatan kosong ditawarkan melalui portal MyFutureJobs

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa peka keperluan golongan belia memberi galakan bagi mengikuti pelbagai program serta latihan kerjaya, untuk memberikan manfaat kepada mereka.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, selain itu Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan kemahiran kepada belia tempatan.

“Belia dan beliawanis merupakan aset yang amat bernilai bagi sesebuah negara. Golongan ini adalah sumber tenaga buruh yang berperanan sebagai pelapis pemimpin dan pentadbiran negara di masa hadapan.

“Golongan belia juga merupakan penggerak utama dan tulang belakang serta penentu kejayaan dan hala tuju serta masa depan negara dan seterusnya pewaris kemakmuran negara,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Kerjaya Perdana 2021 yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.

Katanya, memang tidak dapat dinafikan bahawa isu pekerjaan menjadi kritikal semasa pandemik Covid-19 melanda negara dan ini memberi tamparan hebat kepada ekonomi dunia dan juga Malaysia tidak terkecuali.

Seperti yang dilaporkan, jelasnya, kebanyakan syarikat perniagaan telah gagal bertahan dan mereka tiada banyak pilihan, selain menutup operasi perniagaan mereka dan inilah penyebab akan kadar pengganguran meningkat.