46 tamu desa di Sabah akan dibina pada tahun 2025 – Ewon

KOTA KINABALU : Sebanyak 46 Tamu Desa sudah dikenal pasti akan dibina atau dinaik taraf membabitkan peruntkan berjumlah RM10 juta di seluruh Sabah tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, projek tersebut akan dilaksanakan melibatkan 28 pejabat daerah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta.

Katanya, peruntukan pembangunan premis Tamu Desa oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Pada tahun ini, kita menerima peruntukan berjumlah RM10 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi melaksanakan pembangunan premis Tamu Desa.

“Semasa perasmian penutupan Program MADANI Rakyat Sabah di Tawau pada 11 Mei tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi meneruskan pembangunan premis Tamu Desa di Sabah,” katanya.

Menurutnya, selepas ini beliau akan ke Sarawak untuk berbincang mengenai pelaksanaan pembangunan Tamu Desa Sarawak.

Terdahulu itu, Ewon turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 15 pegawai daerah  serta surat kuasa pelaksanaan projek pembangunan Tamu Desa bagi 15 daerah terlibat.

“Mengambilkira pengalaman pelaksanaan kali pertama pembangunan premis Tamu Desa tahun lepas, kita menambahbaik tadbir urus dengan menetapkan agar status tanah tapak Tamu Desa haruslah disahkan oleh pejabat daerah supaya tiada isu pertikaian atau memang diperuntukkan untuk pembinaan tamu.

“Sebanyak 15 pejabat daerah telah memberikan ulasan dan pengesahan bertulis mengenai tapak Tamu Desa di daerah tadbiran masing-masing yang tidak mempunyai isu,” jelasnya.