KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM848.26 juta bagi pelbagai bentuk bantuan pendidikan dari tahun 2021 hingga 2024.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan sangat jelas, kerana setiap anak Sabah berhak mendapat pendidikan yang berkualiti dan saksama.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, sepanjang lima tahun lalu, sebanyak 14 inisiatif baharu telah diperkenalkan melibatkan peruntukan berjumlah RM164.14 juta yang memberi manfaat kepada 210,918 pelajar di Sabah.
“Antara inisiatif tersebut termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT atau BUDI, program Graduan Rindu Sabah (GRS – SUBFLY) dan sumbangan kepada pelajar pengajian tinggi dalam negara (SENTOSA).
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam membina sistem pendidikan yang inklusif, progresif dan mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri berkata, dalam era transformasi digital dan pendidikan abad ke-21 ini, peranan guru besar sangat penting dan mereka perlu bersedia menghadapi cabaran sambil berinovasi dalam pendekatan mereka.
“Ini selaras dengan peranan guru besar sebagai tonggak dalam sistem pendidikan dan kepimpinan sekolah. Kualiti sesebuah sekolah sangat bergantung kepada keberkesanan kepimpinan guru besarnya dalam aspek pentadbiran, membimbing para pendidik dan melaksanakan reformasi pendidikan yang sejajar dengan aspirasi negara,” katanya.
Hajiji berkata, konvensyen ini merupakan platform penting untuk semua pihak berkongsi pengalaman, idea dan strategi bagi memacu kecemerlangan pendidikan di peringkat sekolah.
“Peranan guru besar amat penting dalam membentuk generasi masa depan. Saya percaya menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman dalam konvensyen ini, kita dapat memperkukuh lagi kualiti kepimpinan dan pengurusan sekolah.
“Marilah kita bekerjasama untuk melahirkan insan yang cemerlang, terbilang dan unggul,” katanya.
Beliau turut menghargai peranan Persatuan Guru Besar Malaysia sebagai sebuah badan yang aktif memperjuangkan profesionalisme kepimpinan sekolah rendah di seluruh negara.
“Semoga konvensyen ini menghasilkan impak cemerlang kepada semua guru besar dalam memastikan pelajar terus diperkasa.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama memartabatkan profesion perguruan, memperkukuh peranan guru besar dan meneruskan usaha memperkasa generasi muda negara kita,” katanya.
