4 Sekolah terjejas jambatan gantung rosak akibat banjir di Nabawan – Mohamad Alamin

KIMANIS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengenalpasti empat sekolah terjejas tidak dapat menggunakan jambatan gantung untuk ke sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata setakat ini cuma hanya satu sekolah sahaja yang ditularkan iaitu membabitkan SK Nangkawangan.

Katanya, tiga sekolah adalah SK Binanon, SK Mamagun dan juga SK Pohon Batu di Nabawan di mana sebanyak lima jambatan gantung yang menghubungi empat sekolah tersebut turut musnah akibat banjir.

“Saya sudah meminta JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melihat empat sekolah terbabit dan lihat apa yang kita boleh bantu untuk memastikan keselamatan murid dan guru terus dititik beratkan.

“Di pihak kementerian, kita bantu mana yang berkaitan dengan kementerian dan kita membekalkan jaket keselamatan bagi sekolah terlibat yang menggunakan khidmat bot sementara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Pusat Khidmat Rakyat Kimanis, di sini, semalam.

Mohamad berkata, jaket keselamatan untuk murid yang menggunakan bot ke sekolah akan dibekalkan sementara menunggu jambatan siap kelak.

“Inisiatif diambil susulan kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk murid sekolah termasuk penduduk kampung bagi menyeberang sungai,” katanya.

Mengulas mengenai isu video tular murid sekolah di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menaiki rakit atau bergayut pada kabel ‘zip line’ untuk menyeberang sungai, Mohamad berkata terdapat tiga sekolah juga turut terbabit.

Dalam pada itu, Mohamad juga berkata, jaket keselamatan terbabit juga turut dibekalkan kepada guru dan juga kakitangan di sekolah yang terlibat.

“Isu keselamatan tidak dapat dikompromi jadi dimana-mana kawasan sekolah yang berdepan risiko tanah runtuh atau banjir besar, ini menjadi keutamaan supaya kita sentiasa peka apa-apa langkah perlu dibuat.

“Jika berlaku di sekolah, kita mempunyai garis panduan namun sekiranya berlaku di luar sekolah, kita akan sentiasa bekerjasama (jabatan atau agensi berkaitan) demi keselamatan murid dan pelajar,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, pihaknya turut memantau sekolah di daerah lain yang berdepan dengan masalah sama supaya tindakan awal dapat diambil jika berlaku kejadian seumpama itu.