4 Ahli Parlimen BERSATU Sabah bakal berhadapan tindakan Anti Lompat Parti – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melahirkan perasaan kecewa dengan sikap mantan kepimpinan BERSATU Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti mereka.

Katanya, BERSATU meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN16) Sabah yang lalu namun kemudiannya bertukar arah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita sahkan di sini BERSATU mencatat kemenangan pada PRN Sabah yang lalu adalah atas logo Perikatan Nasional (PN). Mereka (BERSATU) Sabah perlu ingat atas sejarah ini.

“Ketika ini BERSATU Negeri Sabah kekal wujud serta berfungsi walaupun mantan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama pengikutnya bertindak mengumumkan keluar parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhyiddin berkata, Badan Pimpinan Negeri, termasuk Bahagian-Bahagian serta Cawangan-Cawangan BERSATU di Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

“Hanya MPT BERSATU yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

“Sukacitanya saya ingin mengumumkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden BERSATU selaku Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah yang baharu,” katanya.

Menurutnya, Ronald Kiandee akan bertanggungjawab untuk menyelia serta menguruskan BERSATU Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula BERSATU Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT BERSATU dan MT PN.

“Saya percaya ahli-ahli BERSATU di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam BERSATU yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan,” katanya.