TONGOD: Geran tanah yang pernah dijanjikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah pada pilihan raya lalu, bakal diterjemahkan tidak lama lagi dengan sebilangan besar lot tanah milik penduduk yang dipohon telah di ukur, manakala selebihnya sedang dalam pengukuran Jabatan Tanah Ukur.
Dalam majlis pelancaran pengukuran pantas Kampung Imbak Bangkulat baru-baru ini, Masiung berkata sebanyak 335 lot tanah melibatkan 335 individu di kampung Imbak Bangkulat bakal menerima geran tanah tidak lama lagi.
“Saya mahu bila geran tanah ini sudah dikeluarkan nanti dijaga sebaik-baiknya, kerana untuk memiliki geran tanah ini bukanlah satu perkara yang mudah,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah mengulangi kenyataan sebelum ini supaya, penduduk kampung yang telah memiliki geran tanah, atau bakal memiliki geran tanah kelak, agar tidak dengan sengaja menjual geran tanah itu kepada mana-mana syarikat atau individu lain.
“Penantian selama lapan tahun untuk kampung Imbak Bangkulat ini sahaja cukup lama, bukan sebap apa, kita menunggu jabatan tanah dan ukur datang pun agak lama,” tambahnya lagi.
Masiung juga berterima kasih atas kesabaran penduduk Imbak bangkulat, dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam usaha tersebut sehinggah satu tarikh yang akan ditentukan menjemput Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk penyerahan geran tanah khas kepada penduduk.