MAFI perkenal pakej teknologi lengkap bagi tingkat keluaran hasil tanaman kobis tanah rendah

GOMBAK (Selangor): Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis Tanah Rendah bagi

meningkatkan pengeluaran hasil dan menjimatkan kos buruh.

Pakej tersebut dilancarkan hari ini oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di MARDI Kundang.

Teknologi mekanisasi sangat membantu ke arah peningkatan pengeluaran, pendapatan dan taraf hidup petani serta jaminan bekalan dalam sektor pertanian dan
makanan.

Pada masa ini, penanaman kubis bulat di Malaysia kebanyakan terletak di
kawasan sederhana dan tanah tinggi kerana suhu persekitarannya amat sesuai bagi tanaman ini seperti di Cameron Highland, Ranau dan Lojing.

Kini pengeluaran kubis bulat telah mula dilaksanakan di tanah rendah bagi menampung permintaan domestik memandangkan ruang tambahan yang terhad di kawasan tanah tinggi.

Penggunaan tanah rata bagi penanaman kubis membolehkan
mekanisasi perladangan dilaksanakan di kawasan yang lebih luas.

Berucap pada majlis itu, Ronald berkata pakej mekanisasi ladang bagi pengeluaran kubis tanah rendah ini berupaya meningkatkan pengeluaran kubis negara memandangkan aktiviti secara manual memerlukan tenaga pekerja dan kos yang tinggi di samping keluasan yang terhad serta produktiviti yang rendah.

“Varieti jenis ‘tahan panas’ membolehkan kubis bulat ditanam di kawasan tanah rendah bersuhu tinggi. Ini dapat menjamin bekalan tempatan selain mengurangkan kebergantungan import,’ katanya.

Ronald berkata selari dengan permintaan global yang tinggi, usaha yang berterusan untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi dalam pengeluaran hasilan segar sangat diperlukan bagi menyumbang kepada pertumbuhan yang mampan
dalam sektor pertanian.

MARDI akan mengkomersilkan pakej mekanisasi ini dan terus mengalakkan petani dan pengusaha yang berminat dengan tanaman kubis.

MARDI juga akan memberikan bantuan teknikal kepada mana-mana pengusaha yang berminat memandangkan tanaman ini berpotensi tinggi dan akan memberi pulangan hasil lumayan kerana permintaan yang tinggi dalam negara.

Teknologi mekanisasi akan membantu ke arah peningkatan pengeluaran, pendapatan dan taraf hidup petani serta jaminan bekalan dalam sektor pertanian dan makanan.

Sebelum ini, MARDI juga telah membangunkan teknologi tanaman kubis bunga di tanah rendah yang telah dilancarkan oleh Ronald pada Oktober 2020.