2,000 Penduduk SFI rayu selesaikan segera isu bekalan air dan elektrik

KOTA KINABALU: Lebih 2,000 penduduk Sabah Forest Industries (SFI) terjejas bekalan elektrik serta air kronik sejak enam bulan lalu merayu agar Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah mereka.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti WARISAN (Warisan), Abd Aziz Taip berkata, penduduk SFI tidak dapat menikmati bekalan asas tersebut sejak sekian lama dan  perlu mengambil tindakan proaktif dalam kadar segera untuk menanganinya.

“Kita mahu agar kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tampil menerangkan isu ini kepada pekerja SFI yang terjejas, mengenai perancangan mereka terhadap nasib pekerja berkenaan.

“Jelaskan status perancangan, kaedah serta bagaimana pekerja SFI terjejas dijamin untuk diambil bekerja semula seperti dinyatakan pada tahun 2022 yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Aziz merupakan Ketua Bahagian Warisan Sipitang  menggesa agar kerajaan negeri memandang serius isu ini dengan memastikan nasib pekerja serta penduduk di SFI dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Perlu dingat semua penduduk serta keluarga tinggal di SFI ini adalah 100 peratus merupakan anak tempatan Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata masalah mereka hendaklah dilayan dan diambil perhatian serius oleh kerajaan negeri sekali gus memastikan kepentingan serta kebajikan mereka terus terpelihara.