2 Keluarga Terperangkap Banjir di Kampung Sungai Gading

TAWAU – Dua keluarga dilaporkan terperangkap dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Sungai Gading, Batu 15 Tawau pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.35 pagi, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer (KPI-3).

Komander Operasi, PBK II Mohd Hafidz Musa, berkata setibanya pasukan di lokasi, keadaan air dilaporkan naik secara mendadak akibat hujan berterusan sejak awal pagi.

“Maklumat awal mendapati terdapat dua keluarga terperangkap banjir dan usaha menyelamat sedang dijalankan menggunakan bot penyelamat BP45-1,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Operasi diketuai tujuh anggota bomba dengan bantuan dua jentera — sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Vigo).

Setakat jam 10 pagi, pasukan bomba masih menjalankan pemantauan di kawasan berisiko sambil memastikan semua mangsa dipindahkan ke lokasi selamat.

Sementara itu, Ketua Balai BBP Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin, berkata pihaknya akan terus memantau paras air dan menasihatkan penduduk berhampiran sungai agar berwaspada serta segera berpindah jika diminta oleh pihak berkuasa.