KOTA KINABALU : Sebanyak 17 kek dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Musa bersama isterinya tiba jam 10.30 pagi di Dewan Seri Kinabalu, Istana Seri Kinabalu, hari ini, menyaksikan sendiri kesemua persembahan kek disumbangkan hotel terkemuka di Sabah.
Paling mencuri tumpuan beliau ialah kek coklat moist berbentuk rumah kampung dihasilkan Shangri-La Tanjung Aru Kota Kinabalu dengan konsep nostalgia Aidilfitri rekaan Eksekutif Chef, Rohizan Ramly bersama lima orang pembantunya.
Selain itu, Musa tertarik dengan kreativiti chef dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berkonsepkan Ramadan di SICC serta kek diinspirasikan daripada istana timur bertemakan istana syawal oleh Sutera Harbour Resort and Spa.
Dalam majlis tersebut, Musa bersama isteri berkesempatan merakamkan gambar bersama semua wakil menyumbang kek.
Antara penyumbang-penyumbang tersebut ialah Horizon Hotel, Hilton Kota Kinabalu, Ming Garden Hotel and Residences, Hyatt Regency Kinabalu, Sutera Harbour Resort, Promenade Hotel, The Palace Hotel, The Klagan Group of Hotel, Dreamtel Kota Kinabalu, Nexus Resort and Spa Karambunai, Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), Ibis Style Kota Kinabalu, ATI College dan North Borneo University College.
Kesemua kek akan disumbangkan kepada rumah-rumah anak yatim, badan-badan kebajikan serta Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Kota Kinabalu.