KOTA KINABALU : Buku Mahrajan Persuratan Islam Nusantara Sabah Malaysia yang memaparkan perjalanan aktiviti berorientasikan kesenian Islam diterbit dan dilancarkan hari ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, buku tersebut merupakan produk fizikal, merekodkan segala aktiviti pada acara tahunan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Sabah Malaysia.

Katanya, Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Sabah Malaysia terus mendapat sambutan dengan pelbagai aktiviti berorientasikan kesenian Islam yang menarik perhatian masyarakat setempat dan antarabangsa.
“Aktiviti utama yang diadakan termasuk Nadwah Persuratan Islam, Pertandingan Selawat dan Beduk, Pertandingan Khat Nusantara dan Borneo, Seminar Kepimpinan serta Forum Perdana Ehwal Islam.
“Salah satu pencapaian terbesar Mahrajan tahun ini adalah kejayaan penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam buat pertama kalinya di Membakut,” katanya semasa Program Mutiara Kasih Ramadan dan Sinar Tinta Mahrajan, di sini semalam.
Jumain berkata, forum ini merupakan segmen popular di TV1 menampilkan pendakwah terkenal dalam membincangkan isu-isu semasa berkaitan Islam.
“Selain itu, kejayaan ini tidak terlepas daripada sokongan padu Media Penyiaran JAKIM Putrajaya yang turut serta dalam menjayakan forum berkenaan.
“Pertandingan Khat Nusantara yang bertaraf ASEAN berjaya menarik penyertaan penulis-penulis khat dari serata Asia Tenggara, khususnya dari Indonesia dan Brunei Darussalam,” jelas Jumain.
Menurutnya, Bengkel Perkampungan Khat Sedunia pula menghimpunkan pakar kaligrafi Islam dari pelbagai negara, termasuk Turki dan Thailand dalam usaha memperkasa seni khat di rantau ini.
“Melalui usaha berterusan selama lebih satu dekad, Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Sabah Malaysia komited untuk terus melestarikan kesenian Islam di negeri ini.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan warisan seni Islam tidak pupus dalam arus modenisasi dan globalisasi, sekali gus terus berkembang sebagai medium dakwah dan kesenian yang bernilai tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif menyampaikan Watikah Pelantikan Sekretariat Mahrajan kepada 30 individu.
Antaranya, Anugerah Khas kepada Mohamad Sidik Awang sebagai pengiktirafan sumbangan dalam kesenian Islam di Sabah
Hadir sama, Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin serta isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.