128 hilang tempat tinggal kebakaran di Telipok

KOTA KINABALU: Seramai 128 penduduk daripada 17 keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Skim Petempatan Telipok, Jalan Tuaran, di sini, musnah terbakar, tengah hari tadi.

Jurucakap Bomba Sabah berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.19 tengah hari.

“Sepasukan anggota menggunakan jentera kemudian bergegas ke lokasi kira-kira 19km dari Balai Bomba Lintas.

Kebakaran di Penempatan Skim Telipok. Gambar: Bomba

“Kebakaran membabitkan dua deret rumah 16 pintu jenis tidak kekal dan menurut maklumat awal, sebanyak 17 keluarga tinggal di situ,” katanya dalam laporan FMT online hari ini.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu manakala punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

“Setakat ini, bomba masih menjalankan operasi untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran,” katanya.