KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor hari ini menerima 12,744 borang permohonan bagi menyertai parti itu.
Borang keahlian itu diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Jaffari Waliam dan ketua kumpulan masing-masing pada majlis ringkas selepas Mesyuarat Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini hari ini.
Mereka yang menyertai BERSATU terdiri daripada bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah menyertai NGO’s -Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Sabah.
Jaffari adalah bekas Ketua Bahagian PKR Libaran dan kini merupakan Pengerusi PKN Kawasan Libaran.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengalu-alukan penyertaan Jaffari dan ahli-ahli PKN di Sabah dalam BERSATU.
“Dengan penyertaan mereka, sudah tentu BERSATU Sabah akan bertambah kuat dan sekaligus diterima serta semakin mendapat tempat di hati rakyat.
“BERSATU kini berkembang mekar di Sabah. Teras perjuangan kita adalah untuk rakyat dan memenuhi aspirasi mereka”, katanya.
Sementara itu, Jaffari berkata, beliau bersama 13 Pengerusi dan ahli-ahli PKN Sabah, termasuk Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tenom, Keningau, Labuan dan Sipitang sepakat menyertai BERSATU.
Turut hadir menyaksikan penyerahan borang permohonan itu ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Bendahari Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Mohamed Razali Razi, Ketua Penerangan Firdaus Akbar Khan, Ketua Srikandi BERSATU Sabah Datuk Hajah Azizah Mohd Dun dan Ketua Armada BERSATU Sabah Fairuz Renddan.
SabahNewsToday