Muhyiddin perlu diberikan peluang memerintah sehingga 2023: Chin

Datuk Chin Su Phin

KOTA KINABALU: Pihak parti pembangkang dan kerajaan perlu membenarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melengkapkan tempoh pemerintahan sehingga 2023.

Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk Chin Su Phin berkata, parti politik harus mengenepikan perbezaan masing-masing dan memberikan fokus untuk memerangi pandemik COVID-19 berbanding berebut kuasa.

Menurutnya, Muhyiddin berhadapan dengan cabaran getir disebabkan oleh pandemik ini. Beliau bukan sahaja memerangi COVID-19, tetapi juga kesan wabak itu terhadap ekonomi negara selain tekanan daripada parti pembangkang dan UMNO.

“Bagaimanapun, beliau tidak gentar dan terus memberikan perhatian untuk memerangi penularan COVID-19 dan membangunkan semula ekonomi negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat LDP Cawangan Api-Api, di sini, hari ini.

Beliau berkata, LPD memutuskan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) disebabkan parti ini mengagumi kepimpinan Perdana Menteri.

Katanya, selepas pengisytiharan darurat, ia membolehkann Perdana Menteri untuk memberikan fokus untuk memerangi COVID-19 tanpa diganggu oleh pergolakan politik.

Chin juga bersetuju bahawa tempoh darurat hanya boleh ditamatkan selepas tercapainya 80peratus imuniti secara kelompok dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, beliau berharap, rakyat akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan agar segera mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

“Untuk mengadakan pilihan raya umum ketika ini sudah pasti akan menyebabkan gelombang baharu penularan wabak ini, dan ianya juga akan menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

“Sudah pasti ekonomi kita akan terjejas khususnya di Sabah yang bergantung penuh dengan pendapatan dari sektor pelancongan. Rakyat Sabah tidak lagi mampu untuk bertahan lama dalam keadaan itu,” katanya.

Chin dalam pada itu turut mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebabkan perpecahan politik hanya disebabkan oleh kepentingan masing-masing.

“Keadaan politik di Malaysia kini tidak akan terjadi sekiranya Dr Mahathir tidak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Anwar kehilangan sokongan dalam Pakatan Harapan (PH) dan pembelotan UMNO oleh sekutu-sekutunya.

“Berikutan kejadian-kejadian itu, ianya telah membolehkan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang Dipertuan Agong memandangkan beliau mempunyai majoriti yang mencukupi dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Katanya, kini kumpulan yang sama bertengkar lagi untuk mendapatkan semula kuasa. Dapat dilihat mereka hanya mementingkan kuasa berbanding kebajikan rakyat.

“Tindakan pentingkan diri sendiri ini tidak layak untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, UMNO adalah parti terbesar di Malaysia berjaya ditumbangkan disebabkan etika negatif Datuk Seri Najib Razak dan Zahid.

Katanya, walaupun Najib sudah disabitkan kesalahan dalam perbicaaraan SRC, tetapi bekas perdana menteri itu bersama Zahid masih mengawal UMNO dengan harapan menyelamatkan diri masing-masing.

“Saya berharap terdapat seseorang akan tampil ke hadapan untuk menggantikan Zahid dan membentuk satu kepimpinan baharu bagi menjenamakan semula UMNO,”katanya.

Chin mengakui rakyat lebih memihak kepada sistem dua parti pada keadaan landskap politik kini, keadaan itu menjadikan gelombang ketika parti politik untuk sukar mendapatkan sokongan rakyat.

“Ia jelas di Sabah pada pilihan raya negeri lalu bahawa pengundi hanya mahu pilih PN atau PH walaupun mereka tidak suka kedua-dua gabungan itu, dan tidak memberikan undi kepada pihak ketiga dalam politik.

“Oleh itu, LDP telah memutuskan untuk menyertai PN disebabkan realiti ini telah dibuktikan bahawa hanya parti diarus aliran utama sahaja mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat pada peringkat akar umbi.

“Tidak kira dimana kem politik kami, LDP tetap akan terus memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Chin menjelaskan 28 Cawangan LDP akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan pemilihan diantara bulan Mei dan Ogos.

Memandangkan dalam tempoh pandemik COVID-19, beliau menasihatkan agar semua cawangan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), termasuk menghadkan kehadiran kepada separuh sahaja, sementara ahli lain boleh menyertai mesyuarat secara atas talian.

Semua cawangan juga dihendaki menghantar laporan jumlah ahli yang hadir dalam AGM kepada jawatankuasa pemilhan.

Chin berharap AGM Cawangan dan pemilihan dapat diadakan secara lancar dan menjangkakan lebih ramai golongan muda akan mendapat majoriti di setiap cawangan.

SabahNewsToday

Leave a Reply