PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Jalan Bundusan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, orang awam menemui mangsa iaitu lelaki berumur 27 tahun kira-kira jam 7 malam.
Menurutnya, mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah ditemukan di tingkat bawah kondominium terbabit.
“Siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati lelaki terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat 23 kondominium berkenaan ketika memanjat untuk cuba masuk ke rumah sewa teman wanitanya melalui tingkap di bahagian dapur.
“Mangsa kemudiannya terjatuh dan dipercayai sudah meninggal dunia semasa ditemui di tingkat bawah kondominium,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.
Mohd Haris berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun polis masih menjalankan siasatan.
SabahNewsToday