KOTA KINABALU : Seramai 11 individu termasuk seorang bergelar datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Bagaimanapun tiada pengakuan dirakam terhadap tertuduh, manakala sebutan semula ditetapkan pada 1 Mac depan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Tertuduh terbabit ialah Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45,; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41; dan Mahathir Jibarail, 49.