SANDAKAN : Friends of Sea Turtles Education & Research (FOSTER) dengan berbesar hati mengumumkan Program Sepilok Jazz Edisi Ketiga akan berlangsung pada 6 dan 7 September 2024.
Presiden FOSTER, Alexander Yee menyatakan edisi kali ini akan lebih istimewa dengan pengenalan akademi jazz pertama di Sandakan.
Menurutnya, program ini tidak hanya bertujuan untuk menyajikan hiburan jazz berkualiti tetapi juga memberikan peluang kepada anak muda berbakat di Sandakan dalam bidang muzik jazz.
“Kami berharap program ini dapat menggali bakat individu muda di Sandakan dan memberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka dalam dunia muzik jazz,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit di sini baru-baru ini.
Selain itu, katanya, program edisi kali ini tidak hanya untuk menekankan pendidikan muzik jazz bagi generasi muda, tetapi juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan semangat cinta dan pemuliharaan hidupan penyu laut.
“Kami percaya melalui kegembiraan dan keunikan Program Sepilok Jazz, kami tidak hanya dapat menghibur penonton tetapi juga menanamkan kasih dan kesedaran mengenai perlindungan penyu laut dalam kalangan generasi muda,” tambahnya.
Alexander berkata penyelenggaraan Sepilok Jazz bukanlah hanya mengenai hiburan, sebaliknya pihaknya ingin memastikan mesej pemuliharaan dan kelestarian terus disampaikan kepada masyarakat.
Jelasnya, spesies penyu laut yang terancam perlu terus mendapat perhatian dan pihaknya berusaha untuk melibatkan masyarakat dalam usaha pemuliharaan ini.
Alexander gembira untuk sekali lagi menerima sokongan penuh dari STB bagi program tersebut.
“Kami menghargai sokongan berterusan STB dan kami akan berjumpa dengan beberapa agensi dan syarikat lain seperti Tourism Malaysia, Air Asia dan MASWings untuk menanti keterlibatan mereka juga.
“Kami yakin Program Sepilok Jazz akan berjaya dan ia akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada usaha pemuliharaan dan menyelamatkan penyu laut di Pulau Libaran,” katanya.
Alexander berkata FOSTER berharap program ini tidak hanya menjadi acara pelancongan yang berjaya tetapi juga sumber dana yang penting untuk menjalankan aktiviti pemuliharaan penyu laut dan penetasan telur di Pulau Libaran.
Menurutnya dengan penglibatan masyarakat dan sokongan penuh dari pelbagai pihak, FOSTER yakin kejayaan program ini akan memberikan impak positif kepada kelestarian alam sekitar dan warisan hidupan marin yang semakin terancam.
Untuk rekod, FOSTER dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menjalankan program perlindungan penyu laut di Pulau Libaran sejak tahun 2011.
Inisiatif itu telah memenangi anugerah “Produk Pelancongan Terbaik” di Anugerah Pelancongan Sabah 2019, Anugerah Pelancongan Mampan ASEAN 2022 oleh Tourism Malaysia dan Anugerah Emas Destinasi Mampan 2022 oleh Majlis Pelancongan Malaysia.
FOSTER bertujuan untuk memperluaskan kerja pemuliharaan ini dengan melibatkan lebih ramai penduduk kampung melalui penglibatan komuniti.
“Kami telah berjaya menganjurkan dua acara Sepilok Jazz pada 2022 dan 2023. Kedua-dua acara tersebut membawa bersama artis muzik dari Kota Kinabalu dan Sandakan dan telah menyediakan pengalaman muzik yang indah selama dua hari kepada para hadirin.
“Tahun ini, kami akan berpindah lokasi ke Rainforest Discovery Centre (RDC) Sandakan yang lebih besar dan seorang penganjur acara muzik tempatan, Cheong Kok Ann akan bergabung dengan kami untuk membantu menyusun atur Program Sepilok Jazz Edisi Ketiga,” jelas Alexander.