Pasar Karamunting ditutup mulai 1 Mac untuk kerja pembaikan dan naiktaraf

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin mengumumkan Pasar Karamunting di sini akan ditutup sepenuhnya pada 1 Mac bagi kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf.

Katanya, kesemua penjaja akan dipindahkan ke lokasi sesuai sementara menunggu kerja pembaikan masalah tapak retak di pasar itu yang boleh membahayakan pengguna pasar.

Pasar Karamunting ditutup mulai 1 Mac untuk kerja pembaikan dan naiktaraf.

“Dalam mesyuarat tersebut, wakil penjaja yang hadir sebulat suara bersetuju dengan tindakan untuk menutup sementara pasar tersebut,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini, hari ini

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPS Irman Tajuddin Edy, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting Datuk Chew Kok Woh, Kounselor MPS serta wakil penjaja Pasar Karamunting.

Menurut George, buat masa sekarang, mereka bercadang untuk memindahkan kesemua penjaja ke pasar yang lama (Pasar Karamunting Tanah Merah) buat sementara waktu.

“Kesemua wakil penjaja juga telah bersetuju mengenai perkara ini. Walaupun tapak tanah pasar lama itu milik sebuah gereja, tetapi kami akan membuat rundingan dengan pihak tersebut supaya penjaja akan mendapat harga sewa yang berpatutan,” tambahnya.

Mengambil kira Tahun Baharu Cina yang semakin dekat, George berkata kerja-kerja pengubahsuian dan pembinaan di Pasar Karamunting akan dimulakan pada Mac bagi memberi peluang kepada penjaja untuk berniaga sebelum perayaan tersebut.

Beliau sendiri akan membantu dalam proses pemindahan penjaja di Pasar Karamunting selepas Tahun Baharu Cina atau pada hujung Februari.

“Sebagai wakil rakyat di sini, saya telah memberi perhatian kepada perkembangan di Pasar Karamunting ini dan akan memastikan kerja-kerja membaikpulih ini berjalan dengan lancar.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan di pasar ini untuk mengelakkan kegusaran di antara penjaja dan penduduk di sini,” tambah George.

Keadaan Pasar Karamunting menjadi salah satu isu yang serius selepas ia mengalami beberapa masalah infrastruktur yang mana laluan pejalan kaki dan kawasan kaki lima mula retak dan runtuh selain paip air juga dilaporkan sering tersumbat dan rosak.

Ia menyebabkan pasar itu tidak mendapat sambutan kerana penjaja dan juga penduduk di sini berasa was-was untuk menggunakan bangunan pasar tersebut, lebih-lebih lagi pasar tersebut terletak di tepi laut.

Pasar Karamunting telah dibina melibatkan kos sebanyak RM10 juta dan telah mula digunakan sejak November 2016.

Tahun lalu, George telah mengutarakan masalah tersebut beberapa kali kepada pihak berkuasa termasuk dalam ucapan perbahasan beliau di sesi Dewan Undangan Negeri Sabah.

Katanya, beliau tidak pernah putus mengikuti perkembangan dan menggesa tindakan daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan sehinggalah kerja-kerja untuk memperbaiki pasar tersebut akhirnya akan bermula pada bulan Mac ini.