11 anggota bomba padam kebakaran rumah di Apin-Apin

KENINGAU: Sebuah rumah jenis tidak kekal di Kampung Gasabon, Apin-Apin di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 10.56 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba yang tiba pada jam 11.20 malam mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan kira-kira 30 kaki x 20 kaki yang telah terbakar sepenuhnya.

Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.26 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.07 tengah malam.

Seramai 11 anggota BBP Keningau terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.