Seramai 10 orang artis tempatan berentap merebut gelaran Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah (CLAS-15) musim ke-15 berlangsung di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Salmah Hashim berkata, kelainan CLAS-15 kali buat julung kalinya menampilkan gabungan ‘Orkestra Angkasapuri dan Kombo RTM Sabah’ mengiringi sepenuhnya 10 lagu akan dirakam sepenuhnya Unit Penerbitan TV, RTM Sabah sekali gus disiarkan di TV2, pada 6 Julai ini jam 9.00 malam.
Katanya, antara lagu dipertandingkan termasuklah (Menanti Akhirnya Malam) penyanyi Cearah, (Sumpah Setia) Santiana Ramli, (Sakitku Bahagiamu) Fadh Lee, (Teguh) Qalisya.
“Lagu lain (Kisah Kita) Ires, (Cinta Tak Sempurna) Rocasia, (Kerlingan Rindu) Syarweena, (Penjaga Jodoh) Apiz Paschya, (Mungkin ini Bukan Sayang) Velvet dan (Rasa Hati) Verryca B,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Salmah berkata, program ini dihoskan DJ Pyan dan DJ Moon manakala akan diadili empat juri professional manakala artis jemputan dalam CLAS-15 ini ialah Dayang Noraini dan Joy Bintang RTM 2024.
“Juara Lagu berupa wang tunai RM5,000 menanti pemenang, manakala pemenang Vokal Terbaik akan menerima RM3,000 dan Lirik Terbaik RM3,000 selain sijil serta hadiah iringan menanti mereka.
“Persembahan Terbaik juga menerima RM3,000 bersama piala serta hadiah lain disumbangkan oleh Jetama Sdn Bhd. Bagi peserta yang gagal memperoleh tempat, RM 1,000 sebagai hadiah saguhati disumbangkan oleh Sabah Oil Gas & Development Sdn Bhd,” jelas Salmah.
Menurutnya, orang ramai dijemput menyaksikan CLAS-15 manakala masuk adalah percuma dan siaran CLAS-15 juga akan disiarkan secara langsung melalui Radio SABAHfm, jam 8.00 malam.
“RTM Sabah juga menyediakan siaran secara langsung melalui platform Facebook rasmi Hiburan dan Muzik. Ini merupakan peluang orang ramai untuk memberikan tanda sokongan kepada lagu dan artis tempatan Sabah melalui CLAS-15 nanti,” tambah Salmah.