Wujudkan undang-undang tangani pemberian ‘Picagari Kosong’: Christina

KOTA KINABALU: Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menggubal satu undang-undang berbentuk pencegahan bagi menjadikan tindakan tidak bertanggungjawab dalam pemberian vaksin ‘picagari kosong’ sebagai kesalahan jenayah.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew yang mengemukakan cadangan tersebut susulan laporan media mengenai kes suntikan ‘picagari kosong’ di beberapa tempat di negara ini, yang kini sedang disiasat.

“Ini harus dianggap sebagai suatu jenayah untuk seseorang kerana secara sengaja memberi suntikan vaksin ‘picagari kosong.’ Pandemik Covid-19 adalah soal hidup dan mati, jadi jangan terlibat dalam perlakuan tidak bertanggungjawab ini.

“Pemvaksin tidak harus membahayakan lebih banyak nyawa rakyat dengan mengelak daripada tanggungjawab mereka. Setakat 21 Julai (Rabu), sekitar 7,440 orang di Malaysia telah meninggal dunia akibat koronavirus ini.

“Dan Malaysia, dengan jumlah penduduk 32 juta, dilaporkan telah mengatasi Indonesia dan India dalam kadar kematian Covid bagi setiap sejuta penduduk,” katanya di sini semalam.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api – Api menggesa agar Pengarah Kesihatan Negeri yang baru dilantik untuk mengambil langkah pencegahan agar perkara ini tidak berlaku di negeri ini.

“Ini bagi memastikan rakyat Sabah tidak menjadi mangsa kepada penipuan berkaitan dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Menggesa lebih banyak ketelusan dalam proses vaksinasi, beliau berkata seharusnya ada keseragaman dalam ‘perkara boleh dan tidak boleh untuk dilakukan’.

“Saya difahamkan bahawa sesetengah pusat pemberian vaksinasi (PPV) membenarkannya sementara yang lain melarang pengambilan gambar,” katanya.