Wujudkan ‘tiket Rahmah’ tangani kenaikan mendadak tambang penerbangan domestik – Masiung

KOTA KINANALU : Kerajaan Madani wajar memperkenalkan inisetif  ‘tiket Rahmah’ susulan kenaikan mendadak tiket penerbangan tahap drastik bagi laluan domistik antara Sabah, Sarawak, Labuan  dan Semananjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, memandangkan isu itu boleh menjejaskan integrasi nasional dalam industri pelancongan tempatan.

Katanya, isu ini sangat memberi tekanan kepada rakyat berikutan kenaikan harga tiket pastinya membebankan pelancong domestik berkunjung antara tiga wilayah Borneo dan Semenanjung.

“Kenaikan tambang tahap drastik ini bukan sahaja merenggangkan hubungan integrasi nasional malah mendorong rakyat tempatan memilih tambang lebih murah ke negara jiran sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masiung berkata, minggu lalu harga tiket penerbangan laluan sehala antara Sabah dan Semananjung  mencacah sehingga RM1,700 berbanding ke Manila, Jakarta dan Singapura cuma antara RM550 hingga RM700 sahaja.

“Kenaikan mendadak penerbangan domistik itu bakal menjejaskan industri pelancongan tempatan berikutan rakyat lebih tertumpu berbelanja dengan tambang lebih murah bercuti ke luar negara.

“Keadaan ini sudah tentu wang rakyat lebih banyak mengalir ke luar negara sekali gus merugikan industri pelancongan domestik,” jelas Masiung.

Menurutnya, syarikat penerbangan tempatan mempunyai seribu alasan untuk meraih keuntungan, kerana mereka mengetahui tiada cara lain untuk melancong antara Semenanjung dan wilayah Borneo kecuali menaiki pesawat.

“Satu-satunya cara terbaik, kerajaan perlu mewujudkan inisetif bagi memperkenalkan ‘tiket Rahmah’ dengan harga lantai serendah yang mampu untuk rakyat marhean, ” kata Masiung.