WARISAN mahu GRS-BN selesaikan segera masalah pendatang asing di Sabah – Azhar

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS-BN) perlu membuktikan kesungguhan ‘Bersuara Lantang’ serta sanggup berhadapan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah Pendatang Asing di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin, berkata tindakan mereka itu perlu diterjemahkan dalam tempoh terdekat dengan tidak hanya bangga bersuara ‘Lantang’ di laporan akhbar.

Katanya, kerajaan sekarang ini perlu meyakinkan rakyat dengn memastikan Putrajaya mempunyai kemahuan politik untuk mengatasi masalah PTI yang membelenggu selama ini.

“Mereka perlu segera buktikan kepada rakyat Sabah. Jangan hanya sekadar berharap…..Kita mahu agar tindakan ini bukan sekadar omong-omong kosong untuk sengaja dijaja apabila menjelang Pilihan Raya (PRU15) yang semakin dekat.

“Kalau dulu janji kosong yang sama pernah dilaungkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020, kononnya semua PTI akan di hantar balik sebaik sahaja membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, berkata demikian ketika mengulas kenyataan media Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkaitan masalah penyelesaian pendatang asing di Sabah hari ini.

Azhar berkata malangnya sehingga kini apa yang terjadi ‘Janji PRN’ hanyalah sekadar cakap-cakap kosong sekali gus umpama menanam tebu di tepi bibir.

“Janji tidak dilaksana….Pelbagai alasan digunakan untuk memutar belit janji PRN16 Sabah lalu. Setelah hampir dua tahun rakyat sehingga kini masih menunggu apa tindakan yang dilakukan GRS-BN,” katanya.

Azhar turut mempersoalkan sekiranya betul pengeluaran Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) adalah salah satu penyelesaian kenapa ianya tidak disokong semasa dibentangkan ADUN Lantikkan Datuk Yong Teck Lee pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Disember lalu.