KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) akan fokus bagi memastikan agar isu utama Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diberikan keutamaan untuk diselesaikan di masa depan.
Presiden LDP Datuk Chin Su Phin, berkata, LDP tidak pernah berhenti untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan Sabah sekali gus mahu memastikan agar hak negeri daoat dikembalikan kepada rakyatnya.

Katanya, LDP menggesa agar kerajaan negeri Sabah hari ini memastikan isu seperti pendatang tanpa izin diberikan keutamaan untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Kami akan berbincang dan menyediakan cadangan mengenai isu berkenaan, termasuk cadangan pelaksanaan dokumen pengenalan sementara untuk membezakan pendatang tanpa izin daripada rakyat Malaysia di Sabah.
“Kita juga menggalakkan agar LDP dapat mewujudkan idea serta cadangan daripada akar umbi kepada kepimpinan Pusat dalam usaha mewujudkan satu pelan lebih komprehensif di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi dialog di sini semalam.
Chin berkata, rakyat Sabah perlu memberikan sokongan kepada LDP sebagai parti tempatan serta komited untuk mendengar sekali gus menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
“Secara umum meskipun LDP adalah parti pembangkang, kami sangat berterima kasih kepada kesatuan yang ditunjukkan semua pihak.
“Mereka kekal setia kepada perjuangan parti. Sudah tiba masanya rakyat negeri ini untuk menentukan takdir sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chin berkata beliau akan bertemu dengan 26 bahagian LDP dalam masa terdekat bagi meninjau perkembangan di setiap bahagian serta berkongsikan perspektifnya dalam politik Sabah.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Ketua Pergerakan Pemuda LDP Pusat, Jimmy Lai berkata Pergerakan Pemuda sentiasa memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan LDP.
“Dalam masa sama berusaha mempertahankan kepentingan Sabah dan menolak segala bentuk sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian Sabah,” katanya.