KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki selepas disyaki menerima rasuah berjumlah RM700,000 sebagai balasan bagi melindungi aktiviti pemalsuan cukai jualan mentah di negeri ini.
Menurut sumber, suspek adalah seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri manakala seorang lagi merupakan bekas pesara kerajaan sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan negeri Sabah.
“Kedua-dua mereka telah ditahan pada jam 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dijangka permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.
Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat.